Selangor FC sasar layak ke peringkat kalah mati di ACL2 musim ini – Dr. Johan
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata pasukan kini berada di landasan terbaik untuk menghadapi musim 2025/26 yang cukup mencabar, dengan penyertaan dalam saingan domestik dan antarabangsa termasuk Liga Super Malaysia, AFC Champions League 2 (ACL2) serta Asean Champions Cup (ACC).
“Pasukan utama kita sudah pun berangkat ke Bangkok pagi tadi untuk menjalani latihan pra-musim dari 7 hingga 18 Julai. Kita ada lima perlawanan persahabatan yang dirancang sepanjang kem ini.
Ia sangat penting untuk keserasian pemain, terutama pemain baharu, dan juga untuk menilai persediaan keseluruhan pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Dr. Johan, untuk musim ini sasaran utama kelab adalah untuk tampil lebih konsisten dan bersaing rapat dengan pencabar utama liga, selain mahu melayakkan diri ke peringkat kalah mati dalam kejohanan di pentas Asia.
“Dalam saingan domestik, sasaran kita adalah untuk mengurangkan jurang mata dengan pasukan di tangga teratas. Kita juga mahu layak ke perlawanan akhir. Di ACL2 dan ACC pula, matlamat kita adalah untuk layak ke peringkat kalah mati.”
Musim lalu, Selangor gagal mara ke pusingan seterusnya dalam ACL2 dan mereka kini tekad untuk menebus kehampaan itu.
Tambahan pula, dengan kemasukan beberapa pemain import baharu serta kehadiran jurulatih Katsuhito Kinoshi yang membawa idea segar ke dalam pasukan, pengurusan yakin musim ini bakal membawa perubahan besar.
Dr. Johan juga menegaskan bahawa perihal tentang pemilihan pemain pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih.
“Soal pemain baharu atau tambahan pemain tempatan dan import, itu kita serah kepada Coach Kino. Kami akan terus beri sokongan penuh dari segi logistik dan struktur supaya dia dapat bina pasukan yang diinginkan.”
Dalam pada itu, selain bola sepak Dr. Johan juga berkata mereka turut meneruskan komitmen besar mereka dalam pembangunan e-sukan menerusi Selangor Red Giants OG Esports (SRG).
Melalui kerjasama bersama MoveOn, pasukan SRG kini diperkasa sebagai platform yang bukan hanya fokus kepada permainan, tetapi sebagai gaya hidup sihat dan berkomuniti.
“Kita melihat e-sukan ini sebagai satu industri yang jauh lebih besar daripada sekadar main game. Ia satu gaya hidup. Kerjasama dengan MoveOn membolehkan kita mempromosikan e-sukan sebagai sesuatu yang positif dan sihat. Ini adalah satu kolaborasi yang saling menguntungkan.”
Tambahnya lagi, Selangor membawa pengalaman pengurusan bola sepak profesional ke dalam dunia e-sukan, dan hasilnya jelas apabila SRG mula mencipta nama di pentas serantau.
“Bila kita masuk dalam e-sukan 2-3 tahun lalu, kita sendiri tak jangka ia akan berkembang secepat ini. Dengan struktur yang betul, kita berjaya meletakkan pasukan SRG di peringkat kompetitif. Ini juga menyatukan komuniti e-sukan di Malaysia yang sebelum ini agak terpecah.”
Beliau percaya bahawa potensi Malaysia dalam menjadi kuasa besar e-sukan Asia adalah sangat besar, namun ia memerlukan kolaborasi antara pelbagai pihak.
“Kita tak boleh bergerak seorang. Semua pihak perlu melabur dan sokong, barulah industri ini akan maju.”