League of Legends: Titans Cup MY & SG Dilancarkan – Laluan rasmi ke LCP Wildcard Playoffs

180

Riot Games bersama Easy Onair Sdn Bhd secara rasmi telah melancarkan League of Legends: Titans Cup MY & SG (LTC), sebuah kejohanan nasional baharu yang bakal menjadi laluan rasmi pemain dari Malaysia dan Singapura ke pentas antarabangsa, League of Legends Championship Pacific (LCP).

Inisiatif ini hadir sebagai sebahagian daripada usaha dua tahun Riot Games dan Easy Onair untuk menghidupkan kembali komuniti League of Legends di rantau MYSG, menyuntik semangat akar umbi, mencungkil bakat baharu, serta memperkukuh ekosistem kompetitif sedia ada. 


Dengan format terbuka, inklusif dan penuh dengan liputan siaran langsung, LTC bertujuan menjadi pentas utama bagi pemain tempatan mengembangkan potensi ke peringkat profesional.

Sebagai sebahagian daripada sistem kelayakan baharu LCP yang diperkenalkan Riot Games, juara LTC akan mara ke LCP Wildcard Playoffs, dan seterusnya berpeluang ke Promotion & Relegation Tournament, pintu masuk ke liga tertinggi di rantau Asia Pasifik.

“Kerjasama jangka panjang ini mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi rantau MYSG,” kata Resha Pradipta, Pengurus Negara Riot Games bagi Indonesia & Malaysia. 

Beliau menegaskan bahawa ini adalah langkah penting dalam menyediakan platform sebenar kepada pemain tempatan untuk berkembang secara profesional.

Easy Onair akan mengetuai pelaksanaan kejohanan ini, merangkumi pengurusan acara, produksi siaran langsung, pengambilan caster tempatan serta pelbagai inisiatif melibatkan komuniti. 

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Riot Games dalam merealisasikan visi jangka panjang yang memberi peluang sebenar kepada pasukan, pemain, dan bakat dari seluruh rantau ini,” ujar Kuroshi Hatamake, Pengarah Easy Onair Sdn Bhd.

Butiran kejohanan League of Legends: Titans Cup MY & SG:

  • Pendaftaran dibuka: 8 – 20 Julai 2025
  • Pusingan kelayakan dalam talian: 26 & 27 Julai 2025
  • Siaran langsung suku akhir: 2 & 3 Ogos 2025
  • Separuh akhir & Grand Final (siaran langsung): 9 & 10 Ogos 2025

Format kejohanan akan melibatkan peringkat kumpulan, playoff dan final, dengan ulasan serta analisis dalam bahasa tempatan. Pasukan yang muncul juara akan mewakili Malaysia dan Singapura di peringkat wildcard rantau Asia.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan rasmi Riot: riot.com/LeagueTitansCup. Keseluruhan kejohanan akan disiarkan secara langsung di saluran Facebook dan YouTube League of Legends Malaysia, serta TikTok Easy Onair.

Maklumat lanjut mengenai hadiah wang tunai dan perkembangan kejohanan akan diumumkan melalui Instagram rasmi @leagueoflegendsmy, Facebook League of Legends (MY, SG) dan TikTok Easy Onair.

Dengan pelancaran ini, Riot Games membuka lembaran baharu dalam pembangunan esport Malaysia dan Singapura – membina semula laluan profesional dari akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.