Jhon Duran dipinjamkan ke Fenerbahce selepas enam bulan Sertai Al-Nassr

179

Penyerang muda Colombia, Jhon Duran, sah menyertai kelab gergasi Turki, Fenerbahce secara pinjaman selama semusim daripada Al-Nassr. 

Dipetik dari BBC, perpindahan ini berlaku hanya enam bulan selepas beliau berhijrah dari Aston Villa ke kelab Arab Saudi itu dengan nilai perpindahan sekitar £71 juta.


Duran, 21, hadir ke Al-Nassr pada Januari lalu dan segera menunjukkan taringnya apabila menjaringkan 12 gol dalam 18 penampilan. 

Sebelum itu, beliau turut mempamerkan aksi memberangsangkan di Aston Villa dengan 12 gol dalam 29 perlawanan musim lalu. Namun, di Villa, beliau lebih banyak diturunkan sebagai pemain gantian disebabkan saingan sengit dengan Ollie Watkins.

Dalam satu kenyataan rasmi, Fenerbahce memaklumkan bahawa persetujuan telah dicapai dengan Al-Nassr dan pemain itu sendiri bagi membolehkan Duran menyertai skuad mereka untuk musim 2025/26 secara pinjaman. 

Kelab itu berharap Duran akan menyumbang kepada kejayaan musim baharu di bawah kendalian Jose Mourinho.

Duran, yang telah menjaringkan tiga gol dalam 17 penampilan bersama skuad kebangsaan Colombia, diharap mampu memperkukuh jentera serangan Fenerbahce yang menamatkan saingan sebagai naib juara liga Turki musim lalu. 

Sementara itu, Al-Nassr masih mengekalkan Cristiano Ronaldo yang baru sahaja memperbaharui kontraknya.