Reputasi baik Sri Pahang FC jadi faktor utama saya ke sini – Billy Ketkeophomphone
Pemain kebangsaan Laos, Billy Ketkeophomphone berhijrah ke Sri Pahang FC kerana reputasi cemerlang yang ada pada pasukan itu menjadi faktor utama mengapa beliau ke sini.
“Saya ambil keputusan untuk ke sini selepas mendengar banyak perkara-perkara baik mengenai Sri Pahang, jadi saya sangat gembira untuk berada di sini.
Di sini ramai pemain-pemain yang bagus, jadi ia dapat meningkatkan motivasi pemain dan sebab itu saya gembira di sini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Walaupun teruja apabila tiba di Kuantan, Pahang namun beliau mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia yang sangat panas dan lembap berbanding di Eropah.
Billy akui berdepan masalah untuk bernafas ketika berlatih bersama pasukan, tetapi beliau kini sudah mula perlahan-lahan dapat menyesuaikan diri dengan cuaca.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya untuk mengharungi saingan Liga Super yang akan bermula pada 5 Mac ini, Billy mengakui proses latihan berjalan dengan lancar dan beliau sudah bersedia untuk turun beraksi.
“Persediaan pasukan berjalan dengan lancar dan bagus sekali dan saya harap kami akan bersedia untuk hadapi saingan liga pada musim ini. Dengan barisan pemain-pemain hebat saya berharap kami dapat capai kejayaan.”
Pahang akan membuka tirai saingan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Makmur yang mana ia akan menjadi ujian besar pertama Pahang sebagai sebuah pasukan baru.
Terdahulu nama Billy menjadi bualan ramai peminat bola sepak tanah air ketika Malaysia menentang Laos di Piala AFF 2020 tahun lalu.
Ramai peminat memuji aksi persembahannya yang mantap biarpun pasukannya tewas 0-4 di tangan Harimau Malaya.
Sementara itu, Billy akui berasa gembira dan berterima kasih kepada peminat Malaysia yang memuji aksinya ketika pasukannya menentang Malaysia di Piala AFF 2020 tahun lalu.