Luis Diaz setuju sertai Barcelona

82

Gergasi La Liga, Barcelona dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat Luis Diaz daripada Liverpool, selepas kegagalan rundingan dengan Nico Williams yang meletakkan syarat ketat seperti pendaftaran awal dan klausa pelepasan.

Menurut laporan media tempatan, Diaz sendiri telah menyatakan kesediaannya untuk menyertai kelab Catalan itu tanpa menuntut sebarang syarat pendaftaran segera atau sebarang klausa khas dalam kontraknya.


Sikap profesional dan kepercayaan penuh pemain Colombia itu terhadap projek Barcelona menjadi antara faktor utama mengapa pengarah sukan Barcelona, Deco kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada Diaz sebagai sasaran utama untuk memperkukuhkan posisi sayap kiri.

Pemain berusia 28 tahun itu juga difahamkan tidak mahu memberi tekanan kepada Liverpool buat masa ini, khususnya selepas pemergian mengejut Diogo Jota, yang meninggalkan kesan mendalam kepada kelab dan penyokong.

Diaz menghormati situasi tersebut dan tidak akan memaksa perpindahan tersebut, tetapi tetap terbuka untuk berpindah jika ada kata sepakat antara semua pihak.

Wakil pemain itu juga dilaporkan sedang giat berunding dengan Barcelona, dan perbincangan semakin rancak dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun, cabaran utama buat Barcelona adalah dari sudut kewangan kerana Liverpool dijangka hanya akan melepaskan pemain berusia 28 tahun itu dengan harga sekitar €70 hingga €80 juta, satu jumlah yang dilihat tinggi untuk Barcelona yang masih bergelut dengan isu fair play kewangan La Liga.

Dalam masa yang sama, Bayern Munich turut dikatakan berminat dan sudah mencapai persetujuan peribadi dengan pemain itu, yang mungkin memberi tekanan tambahan kepada Barcelona untuk mempercepatkan proses tawaran rasmi.