Polis sahkan Diogo Jota pemandu dalam kemalangan maut di Sepanyol

148

Polis Sepanyol mengesahkan bahawa semua bukti setakat ini menunjukkan penyerang Liverpool, Diogo Jota, adalah pemandu kereta dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa beliau dan abangnya, Andre Silva. 

Dipetik dari Skysports, tragedi tersebut berlaku sekitar jam 12.30 pagi waktu tempatan, Khamis lalu, di lebuh raya A-52 berdekatan Cernadilla, Zamora.


Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu Jota dipercayai telah melebihi had laju yang ditetapkan sebelum terbabas dan terbakar. 

Menurut Pengawal Awam (Civil Guard), kemalangan tersebut berpunca daripada letupan tayar ketika cubaan memotong, menyebabkan kereta hilang kawalan dan terbakar serta-merta. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan Jota ketika itu dalam perjalanan dari Portugal ke Santander, utara Sepanyol, bagi menaiki feri ke England. 

Dalam kenyataan terbaharu, polis menyatakan bahawa laporan forensik sedang disiapkan dan akan dihantar ke Mahkamah Puebla de Sanabria untuk semakan lanjut.

Majlis pengebumian Jota dan abangnya telah diadakan di Gondomar, berhampiran Porto, pada hari Sabtu. 

Sebagai penghormatan, pengurus Liverpool, Arne Slot bersama pemain Andy Robertson dan CEO FSG, Michael Edwards telah hadir ke Anfield pada Selasa untuk meletakkan jambangan bunga bagi memperingati pemergian tragis pemain berusia 27 tahun itu.