Chelsea kutip £80 juta mara ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia
Kejayaan wakil England, Chelsea mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab 2025 membuka satu lembaran baharu buat pasukan bimbingan Enzo Maresca itu, yang menampilkan prestasi terumbang-ambing dalam saingan liga musim lalu.
Dengan kejayaan itu, Chelsea juga membawa pulang hasil kewangan yang sangat besar, dengan jumlah kutipan sekitar £80 juta.
Prestasi meyakinkan skuad kendalian Enzo Maresca dalam kejohanan edisi pertama yang menampilkan 32 pasukan itu bukan sahaja mengukuhkan nama mereka di pentas dunia, malah turut menjadi penyuntik utama kewangan kelab.
Sebagai salah satu daripada 12 wakil Eropah yang layak berdasarkan ranking kelab UEFA, Chelsea menerima yuran penyertaan awal yang dianggarkan sekitar £25 hingga £30 juta.
Kejayaan menewaskan kelab seperti LAFC, ES Tunis, Benfica dan Palmeiras dalam laluan ke final pula membolehkan The Blues menjana pelbagai bonus kemenangan dan insentif peringkat kalah mati yang bernilai tinggi.
Kemenangan di suku akhir dan separuh akhir sahaja menyumbang lebih £35 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan setakat ini berada dalam lingkungan £75 hingga £80 juta.
Dengan prestasi yang memberangsangkan di kejohanan ini, Chelsea bukan sahaja menunjukkan kebangkitan dari segi bola sepak, tetapi juga dari aspek kewangan yang lebih mampan.
Wang yang dikumpul ini dijangka akan membantu kelab menampung kos perpindahan pemain seperti Joao Pedro serta memperkukuh lagi usaha untuk melengkapkan pasukan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris 2025/26.
Sekiranya Chelsea berjaya muncul juara dalam final yang dijadual berlangsung dalam beberapa hari lagi, mereka dijangka akan menerima tambahan £22 hingga £30 juta lagi, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan berpotensi mencecah £100 juta atau lebih.