Saya percaya tekanan akan menciptakan bintang – Fergus Tierney
Pemain Harimau Malaya B-23, Fergus Tierney, mengakui rasa teruja untuk turun beraksi dalam kejohanan Piala Mandiri ASEAN B-23 yang bakal berlangsung di Jakarta bermula 15 Julai 2025, khususnya di hadapan penyokong fanatik Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Menurut Fergus, kem latihan pusat kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain, berjalan lancar dan memberi ruang kepada pemain untuk memahami corak permainan yang diinginkan.
“Saya rasa kita ada sesi latihan yang bagus. Hari demi hari kita belajar perkara baharu. Masih ada masa untuk memperbaiki beberapa perkara sebelum sepak mula,”
katanya.
Walaupun menyertai skuad B-23, Tierney merupakan antara pemain berpengalaman selepas tampil bersama skuad senior negara.
Baginya, peluang ini bukan sekadar untuk membantu rakan sepasukan muda, tetapi juga untuk menunjukkan kualiti dan ilmu yang dipelajari daripada jurulatih senior, Peter Cklamovski.
“Saya hanya mahu bantu pasukan ini pergi sejauh mungkin. Apa yang saya pelajari dari skuad senior dan juga dari Liga Thailand, saya akan cuba terapkan di sini.”
Dalam pada itu, berkongsi mengenai suasana yang bakal dihadapi pasukan di Jakarta nanti, Fergus menekankan bahawa tekanan daripada penyokong lawan bukanlah sesuatu yang mengganggunya.
“Saya memang teruja untuk bermain di depan penyokong Indonesia. Kalau ada tekanan, saya percaya tekanan akan menciptakan bintang.”