Tottenham setuju bayar £55 juta untuk dapatkan Mohammed Kudus dari West Ham

107

Tottenham Hotspur semakin hampir memperkuatkan jentera tengah mereka selepas bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai £55 juta bersama West Ham United bagi mendapatkan pemain antarabangsa Ghana, Mohammed Kudus.

Menurut laporan BBC Sport, perjanjian ini dimeterai selepas West Ham menolak tawaran awal bernilai £50 juta daripada Spurs. 


Kudus kini dijangka menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab London Utara itu.

Kudus, 24, menyertai West Ham dari Ajax pada tahun 2023 dengan nilai perpindahan £38 juta. 

Sepanjang satu musim bersama The Hammers, beliau telah mencatatkan 65 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, menjaringkan 13 gol serta mencipta sembilan bantuan gol.

Pemain tengah serba boleh itu turut memiliki klausa pelepasan bernilai £85 juta, namun Spurs berjaya menyelesaikan perpindahan dengan nilai lebih rendah berkat rundingan yang kukuh. 

Difahamkan, sekurang-kurangnya enam kelab utama Eropah telah menunjukkan minat terhadap Kudus, namun beliau dikatakan lebih mengutamakan perpindahan ke Tottenham.

Selain Kudus, Tottenham juga sedang meneliti potensi untuk mendapatkan penyerang Brentford, Yoane Wissa, bagi memperkukuh barisan serangan mereka.

Jika semuanya berjalan lancar, Kudus dijangka menyertai kem pramusim Spurs dalam masa terdekat sebagai tambahan penting kepada pasukan kendalian Ange Postecoglou menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris.