Noor Ainun diiktiraf MBOR selepas tamatkan larian ekstrem 444KM

1,352

Atlet ultra running negara, Noor Ainun Yeop Kamaruddin mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan cabaran ekstrem Nozomi Coast to Coast Run sejauh 444 kilometer, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records(MBOR) sebagai “Wanita Pertama Menamatkan Nozomi Coast to Coast Run (Perempuan) Jarak 444KM”.

Pencapaian luar biasa ini diraikan dalam satu majlis rasmi hari ini dengan penyerahan pengiktirafan MBOR yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli. 


Larian yang bermula dari Lumut, Perak hingga ke Bachok, Kelantan itu telah berjaya ditamatkan dalam tempoh 118 jam, 18 minit dan 14 saat, menjadikan beliau wanita Malaysia pertama yang menamatkan larian Nozomi Coast to Coast sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan yang dianggap sebagai simbol semangat luar biasa, ketahanan mental dan fizikal serta dedikasi yang tinggi terhadap sukan lasak.

Kejayaan Puan Noor Ainun bukan sahaja menandakan pencapaian individu yang cemerlang, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya wanita untuk terus berani mencabar keupayaan diri dalam bidang sukan.

Ia turut mencerminkan nilai teras Malaysia MADANI dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing, gigih serta mempunyai semangat juang tinggi. 

Lebih penting lagi, pencapaian ini membuka ruang kepada lebih ramai atlet wanita untuk mencipta sejarah di pentas sukan ultra.