Kelana United fokus pertahan kejuaraan LWN & cipta sejarah di pentas Asia
Juara bertahan Liga Wanita Nasional (LWN), Kelana United, tampil dengan semangat baharu dan misi besar menjelang musim 2025 iaitu mahu mempertahankan kejuaraan liga dan juga menyasarkan impak besar dalam saingan AFC Women’s Champions League (AWCL) bulan depan.
Bagi memastikan skuad kendalian Fairuz Montana bersiap-sedia, mereka turut menandatangani dua pemain import dari Indonesia iaitu Shalika Aurelia dan Viny Silfanus untuk memperkuatkan pasukan.
Menurut Fairuz, pemilihan kedua-dua pemain itu adalah kerana mereka mempunyai semangat juang tinggi dan keperibadian ‘fighter’ yang sesuai dengan DNA Kelana United.
“Saya suka pemain yang degil, yang tak mudah mengalah. Karakter mereka sangat sesuai untuk bantu pemain-pemain muda kita musim ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Fairuz juga mengakui cabaran mempertahankan gelaran jauh lebih sukar berbanding menciptanya, oleh itu beliau menekankan keperluan untuk kerja keras dan komitmen berlipat ganda daripada barisan pemainnya kali ini.
Dalam pada itu, selain fokus pada saingan LWN, Kelana United juga kini turut menyiapkan skuad untuk beraksi di AWCL — pentas tertinggi kelab wanita di Asia.
Menyedari saingan bakal lebih mencabar, Fairuz mendedahkan bahawa akan ada tiga lagi pemain import tambahan yang akan menyertai skuad bagi memperkukuh taktikal serta memberi dimensi baharu kepada pasukan.
“Setelah melihat undian kumpulan yang diterima Kelana United untuk saingan AWCL, kami menyedari bahawa beberapa perubahan dari segi taktikal perlu dilakukan. Pendekatan taktikal yang digunakan musim lalu mungkin tidak lagi sesuai untuk digunakan sepenuhnya kali ini, jadi kami sedang merangka strategi baharu yang lebih bersesuaian.
Selain itu, kami juga akan menambah tiga lagi pemain import bagi memperkukuh pasukan menghadapi cabaran di AWCL Ogos ini. Saya berharap dengan usaha keras, persiapan rapi serta doa daripada semua pihak, kami mampu mencipta detik manis dalam kejohanan ini — bukan sahaja untuk Kelana United, tetapi juga demi mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.”
Sementara itu, Fairuz turut mengakui bahawa beberapa pasukan seperti Selangor, Sabah, dan MBSJ bakal menjadi pencabar utama musim ini.
Namun, beliau percaya dengan kesungguhan serta semangat baharu dalam skuadnya, Kelana United mampu bersaing dan kekal sebagai kuasa dominan dalam bola sepak wanita negara.