ACL 2 jadi sasaran KL City FC musim ini – Syed Yazid

125

KL City FC menetapkan misi tinggi bagi musim 2025/26 apabila menyasarkan untuk menamatkan saingan Liga Super Malaysia dalam kelompok dua teratas, sekali gus merebut slot ke kejohanan AFC Champions League 2 (ACL2).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, mengesahkan sasaran ini ketika ditemui pada majlis sambutan Jubli Emas 50 Tahun KLFA malam tadi.


“Kita nak pergi Top 3, sebenarnya kalau dapat Top 2, itulah sasarannya (ke ACL2),” 

katanya.

Sasaran tersebut dilihat mampu dicapai oleh skuad The City Boys berikutan persiapan pasukan itu bagi mengharungi musim baharu cukup rancak dan mereka baru sahaja tonik tambahan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM 1 juta kepada KLFA sebagai usaha menyokong pembanqunan semula sukan bola sepak di ibu negara.

“Kita sebenarnya tidak pernah meminta, namun YAB Perdana Menteri tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada pasukan. Saya sendiri tidak menjangkakan langsung perkara ini, tiba-tiba sahaja beliau umumkan jumlah tersebut. Banyak tu. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur.”

Menurut Syed Yazid, dana yang bakal diterima itu akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO KLFA bagi menentukan kegunaannya, namun yang pasti, fokus adalah untuk memperkukuhkan operasi dan prestasi kelab.

Dalam pada itu, KL City kini diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain pinjaman berprofil tinggi dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Manuel Hidalgo, Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid.

Menariknya, Syed Yazid menegaskan tiada lagi ‘gentleman agreement’ buat pemain-pemain ini dibenarkan beraksi menentang JDT jika perlawanan berlaku musim ini.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan bahawa kelab kini sedang berunding dengan bekas pemain import Sabah FC iaitu Joao Pedro, dan keseluruhan skuad dijangka dimuktamadkan minggu hadapan.

Sementara itu, KL City akan tampil berwajah baharu pada musim ini dengan rekaan jersi baharu dan logo moden di mana mereka akan menggunakan dua logo berbeza pada jersi ‘home’ dan ‘away’.

“Rekaan baharu ini tentunya ke arah yang lebih moden. Kami mahu logo, terutamanya yang berwarna merah putih, tampil lebih menyerlah berbanding logo sebelum ini.

Kenapa ada dua logo? Ini usaha kami untuk tampilkan kelainan. Sebagai contoh, untuk perlawanan di laman sendiri, kita akan gunakan logo khas yang anda lihat tadi. Maknanya, kami mahu bawa sedikit kelainan dan pada masa sama, tekankan bahawa KL City berasal daripada KLFA.”