Quincy Kammeraad sedia cipta nama bersama KL City FC
Penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad, tampil sebagai antara wajah baharu yang akan memperkuatkan skuad KL City FC untuk musim 2025/26 mahu mencipta impak besar di pentas Liga Super Malaysia, dan menyasarkan untuk membantu The City Boys menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas.
Menurut Quincy, beliau membuat keputusan untuk sertai KL City bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya berdasarkan rancangan jangka panjang.
“Saya rasa KL datang dengan perancangan yang baik untuk saya, bukan hanya untuk satu musim tetapi untuk beberapa musim.
Mereka memberikan gambaran yang jelas tentang apa yang saya inginkan. Saya dan ejen rasa KL adalah pilihan tepat,”
katanya.
Quincy turut mengakui tidak tertekan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Kevin Ray Mendoza, bekas penjaga gol Filipina yang pernah mencipta nama bersama KL City.
“Saya tidak anggap itu tekanan. Sebaliknya, ini satu cabaran dan saya harap saya boleh beraksi lebih baik.”
Quincy sedar proses penyesuaian diri memerlukan masa, namun beliau optimis dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, semuanya akan berjalan lancar.
“Saya rasa tempo di sini lebih laju dan tahap permainan lebih tinggi. Tapi saya sudah terbiasa sedikit selepas bersama skuad kebangsaan Jun lalu.”
Dalam pada itu, menjelang sepak mula musim baharu, Quincy menyambut baik sasaran kelab untuk berada dalam kelompok tiga teratas.
“Dengan skuad yang kami ada sekarang, saya percaya ia sangat realistik.”
Sementara itu, ditanya tentang jersi baharu kelab, Quincy tanpa ragu memilih jersi penjaga gol berwarna merah jambu (pink).
“Saya suka. Ia sesuatu yang berbeza. Kebanyakan penjaga gol pakai warna hijau, jadi merah jambu ini lain daripada yang lain.”
Dengan semangat dan keyakinan yang ditunjukkan, Quincy dilihat bersedia menggalas cabaran besar di Kuala Lumpur, dan peminat pastinya menanti untuk menyaksikan aksi cemerlangnya di bawah tiang gol.