Khairy Jamaluddin akui SCORE Marathon 2025 mencabar, puji penganjuran terbaik

519

ekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tampil menyertai SCORE Marathon 2025 yang berlangsung penuh meriah di Putrajaya pagi tadi. 

Acara larian tahunan itu berjaya menarik penyertaan luar biasa melebihi 33,000 peserta, sekaligus mencatat rekod sebagai antara maraton terbesar di Malaysia.


Khairy yang turut beraksi dalam kategori separuh maraton (21KM) mengakui laluan kali ini agak mencabar, meskipun berlangsung di Putrajaya yang lazimnya dianggap kawasan rata.

“Laluan kali ini lebih mencabar daripada biasa. Walaupun kita berlari di Putrajaya, laluan yang dipilih agak ‘rolling’ dan berbukit. Jadi memang bukan larian mudah,”

katanya.

Khairy pada masa turut memuji penganjuran SCORE Marathon yang kini sudah berkembang ke tahap antarabangsa dan mempunyai piawaian global, malah menyifatkannya sebagai antara acara larian terbaik di Malaysia.

“SCORE Marathon bermula semasa saya di Kementerian Belia dan Sukan, dan hari ini kita dapat lihat betapa pesatnya perkembangan acara ini dengan lebih 33,000 penyertaan. Ini bukti ia antara maraton terbaik dari segi penganjuran.”

Dalam pada itu, Khairy mengakui beliau mungkin terlalu memaksa diri kerana menyertai beberapa acara besar sebelum ini termasuk Powerman dan Hyrox, yang menyebabkan beliau tidak cukup masa untuk proses pemulihan.

“Saya terlupa yang saya dah hampir 50 tahun. Buat Powerman, kemudian Hyrox, dan kini half marathon secara berturut-turut – memang tak cukup masa untuk recovery. Jadi memang saya tahu awal-awal PB (personal best) memang sukar dicapai.”

Khairy turut berkongsi bahawa sasaran awalnya untuk acara 21KM adalah bawah dua jam sepuluh minit, namun akur dengan cabaran fizikal dan kekangan pemulihan.

Sementara itu, beliau yang ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk menyertai acara Ironman penuh selepas ini hanya tersenyum dan menjawab ringkas.

 “Saya kena kaji balik pilihan hidup selepas ini.”