Arsenal hampir dapatkan Viktor Gyokeres dari Sporting CP
Arsenal dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan penyerang prolifik Sporting CP, Viktor Gyokeres, dalam satu perpindahan yang dijangka bernilai sekitar £55 juta, dengan tambahan £8.6 juta dalam bentuk insentif bergantung kepada prestasi.
Dipetik dari Skysports, perkembangan ini muncul selepas rundingan menemui jalan penyelesaian apabila ejen pemain Sweden itu bersetuju untuk mengetepikan komisen yang sepatutnya diterima, sekali gus membolehkan Arsenal mengurangkan bayaran dijamin tanpa menjejaskan tuntutan harga Sporting.
Menandatangani seorang penyerang merupakan fokus utama Arsenal dalam jendela perpindahan musim panas ini, dan Gyokeres dianggap sebagai sasaran utama selepas mereka turut meneliti beberapa pilihan lain termasuk Benjamin Sesko dari RB Leipzig.
Gyokeres, 26, menjadi rebutan beberapa kelab utama Eropah termasuk Manchester United, selepas mencipta impak luar biasa di Portugal.
Sejak menyertai Sporting dari Coventry City pada 2023 dengan nilai sekitar £20 juta, beliau telah menjaringkan 97 gol dalam 102 penampilan.
Musim lalu sahaja, Gyokeres meledak 54 gol dalam 52 perlawanan, termasuk hatrik menentang Manchester City dalam aksi UEFA Champions League, membantu Sporting merangkul kejuaraan liga dan Piala Portugal.
Sekiranya perpindahan ke Emirates dimuktamadkan, Gyokeres bakal kembali ke bola sepak Inggeris selepas pernah beraksi bersama Brighton, St Pauli, Swansea dan Coventry.
Dengan statistik mengagumkan serta pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Gyokeres dijangka menjadi tambahan berharga kepada barisan serangan Arsenal bagi musim 2025/26.