Cole Palmer cemerlang, Chelsea julang kejuaraan Piala Dunia Kelab 2025
Cole Palmer sekali lagi membuktikan dirinya sebagai tonggak penting Chelsea apabila menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 dalam aksi final Piala Dunia Kelab 2025 yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey.
Dipetik dari BBC, dalam perlawanan yang menyaksikan kehadiran lebih 81,000 penonton termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino, Chelsea tampil dominan sejak awal permainan.
Palmer membuka tirai jaringan seawal minit ke-22 selepas menyambut lorongan Malo Gusto dan menewaskan Gianluigi Donnarumma dengan rembatan rendah.
Lapan minit kemudian, pemain tengah England itu sekali lagi menewaskan Donnarumma menerusi gerakan individu yang tenang dan penyudah dari luar kotak penalti.
Palmer terus menyerlah apabila mencipta hantaran sempurna kepada Joao Pedro untuk menjaringkan gol ketiga sebelum tamat babak pertama, sekali gus memusnahkan semangat juang PSG.
PSG cuba bangkit di separuh masa kedua dengan beberapa percubaan daripada Khvicha Kvaratskhelia dan Ousmane Dembele, namun penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez tampil cemerlang menafikan segala ancaman.
Ketika permainan berbaki lima minit, PSG kehilangan Joao Neves yang dilayangkan kad merah selepas menarik rambut Marc Cucurella.
Kekalahan tersebut ditambah dengan insiden panas pasca perlawanan apabila pengendali PSG, Luis Enrique kelihatan menampar Joao Pedro dalam kekecohan yang berlaku di tepi padang.
Dengan kemenangan ini, Chelsea bukan sahaja muncul juara dunia buat kali pertama dalam format baharu kejohanan, malah membawa pulang ganjaran kira-kira £90 juta, menandakan kebangkitan semula The Blues di bawah kendalian Enzo Maresca.