Alto Linus minta peminat bersabar kerana Sabah FC masih dalam fasa pembentukan

309

Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menjelaskan bahawa skuad The Rhinos masih dalam proses pembentukan menjelang sepak mula Liga Malaysia 2025/2026 yang dijadualkan bermula awal Ogos ini.

Menurut Alto, kekalahan dalam aksi persahabatan menentang kelab gergasi Thailand, Buriram United, baru-baru ini bukanlah gambaran sebenar kemampuan pasukannya, sebaliknya menjadi medan penting untuk menilai tahap persiapan awal skuad kendaliannya.


“Perlawanan ini sangat berguna bagi kita. Buriram merupakan antara kelab terbaik di Asia Tenggara, jadi ia benar-benar menguji aspek taktikal, terutama dalam bertahan dan transisi. Banyak kelemahan dikenal pasti dan kami akan perbaikinya,”

katanya.

Alto turut menjelaskan bahawa tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan kerana pasukan baharu sahaja memulakan latihan pra musim dan hanya sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Kasuka FC dari Brunei.

“Saya rasa kami perlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat lagi perlawanan persahabatan untuk mencapai tahap kesediaan sebenar sebelum liga bermula.”

Dalam pada itu, jurulatih muda itu turut memberi pujian kepada beberapa pemain muda dari skuad B-23 yang menunjukkan potensi besar ketika digandingkan bersama pemain senior.

“Dari segi kematangan dan komitmen, mereka semakin menunjukkan perkembangan positif. Ini petanda baik untuk pembangunan jangka panjang Sabah FC.”

Beliau pada masa sama juga berkata Sabah bakal menerima suntikan kekuatan dalam masa terdekat apabila dua tonggak utama pertahanan, Dominic dan Gabriel, dijangka kembali cergas dalam tempoh seminggu.

Mengulas lanjut mengenai tiga pemain import baharu musim ini — Dean Pelekanos, Dane Ingham dan Ajdin Mujagic — Alto menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi awal mereka namun mengakui aspek kecergasan dan keserasian masih memerlukan masa.

“Keserasian itu sedang dibina. Mereka menunjukkan kualiti, cuma kami perlu pastikan mereka benar-benar serasi dengan sistem permainan sebelum liga bermula.”

Sementara itu, Sabah dijangka akan mengatur beberapa lagi aksi persahabatan dalam minggu-minggu terakhir pra musim sebagai persediaan akhir untuk membentuk skuad yang mantap dari segi fizikal, taktikal dan mental menjelang musim baharu.