Muhaizar Mohamed fokus latihan rapi demi peluang ke Sukan SEA

148

Pelari maraton berpengalaman negara, Muhaizar bin Mohamed, sedang menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapannya bagi menghadapi Sukan SEA 2025, walaupun status penyertaannya masih belum disahkan secara rasmi oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Muhaizar, beliau masih lagi belum menerima maklum balas rasmi daripada pihak bertanggungjawab mengenai kelayakan ke temasya dwitahunan itu, namun beliau tidak menjadikan ketidakpastian tersebut sebagai halangan, sebaliknya mengambil pendekatan proaktif untuk bersedia seawal mungkin.


“Saya belum tahu sama ada akan terpilih atau tidak, tapi saya sudah mula merancang program latihan. Mungkin selepas Malaysia Open nanti baru ada keputusan rasmi. Yang penting saya terus bersedia,”

katanya.

Tambahnya lagi, persiapan ke arah Sukan SEA di Thailand bukanlah tugas mudah kerana faktor cuaca panas serta saingan sengit dari pelari negara jiran yang sudah biasa dengan keadaan sedemikian. 

Namun, Muhaizar tetap optimis bahawa dengan latihan yang tersusun, beliau masih berpeluang mencipta kejutan.

“Memang sukar nak jamin pingat emas, tapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang penting adalah perancangan latihan. Saya sedang merancang untuk menjalani latihan altitud tinggi dan cari kem latihan yang sesuai supaya boleh fokus sepenuhnya.”

Beliau turut berkongsi bahawa latihan intensif di kawasan bersuhu ekstrem akan menjadi fokus utama bagi meningkatkan daya tahan serta ketahanan fizikalnya.

Dalam pada itu, Muhaizar telah memperlihatkan kehebatan beliau apabila berjaya muncul juara dalam kategori veteran pada SCORE Marathon 2025 dengan catatan masa 1 jam 20 minit untuk separuh marathon (10KM).

Muhaizar yang merupakan pemenang pada edisi lepas bagi kategori marathon penuh (42KM) tidak dapat menyertai kategori sama berikutan masa dalam proses pemulihan.

“Saya baru sahaja menamatkan perlumbaan maraton penuh minggu lepas, jadi badan masih dalam fasa pemulihan. Untuk pulih sepenuhnya dari maraton memerlukan masa, jadi saya hanya ambil bahagian dalam acara half marathon (21KM)kerana ia lebih sesuai dengan tahap pemulihan saya ketika ini.”