Luka Modric sah sertai AC Milan

71

Bintang tengah Croatia, Luka Modric sah menyertai AC Milan selepas menamatkan tempoh 13 tahun penuh kejayaan bersama Real Madrid. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 39 tahun itu menandatangani kontrak sehingga Jun 2026, dengan pilihan lanjutan setahun bersama gergasi Serie A tersebut.


Perpindahan ini dilakukan secara percuma selepas kontraknya bersama Real tamat, dan diumumkan tidak lama selepas Modric menamatkan aksi terakhirnya dalam kekalahan 0-4 kepada Paris Saint-Germain di separuh akhir Piala Dunia Kelab.

Modric, yang memenangi Ballon d’Or 2018, meninggalkan legasi besar di Santiago Bernabeu dengan 28 trofi termasuk enam UEFA Champions League dan empat La Liga.

Dengan 597 penampilan dan 43 jaringan, beliau kini bergelar pemain paling berjaya dalam sejarah Real Madrid.

Ketua jurulatih baharu Milan, Massimiliano Allegri menyifatkan kehadiran Modric sebagai satu suntikan pengalaman luar biasa buat pasukan. 

Beliau kembali membimbing Rossoneri dengan misi mengembalikan kegemilangan selepas Milan menamatkan musim lalu di tangga kelapan Serie A dan terlepas slot Eropah.

Modric pula mengakui teruja memulakan lembaran baharu dalam kariernya dan berharap perpindahan ke Milan akan menjadi pentas persiapan terbaik untuk terus mewakili Croatia, menjelang Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.