“Talk less, action more”, Kabilan Jelevan, bintang baharu Muay Thai yang sedang mencipta nama di Asia Tenggara
Di sebalik kemenangan sensasi di pentas Byon Combat Showbiz 5 di Indonesia, nama Kabilan Jelevan kini bukan sahaja meniti di bibir peminat Muay Thai tempatan, malah telah mencuri perhatian komuniti kombat serantau.
Atlet muda kelahiran Sarawak ini telah mengukir nama sebagai pejuang Muay Thai yang bukan sahaja berbakat besar, tetapi membawa disiplin dan aura yang jarang dilihat pada usia semuda ini.
Kabilan berkongsi pengalaman bermakna menyertai Byon Combat dan bagaimana beliau mengawal tekanan ketika bertarung di pentas besar luar negara.
“Saya seorang yang lebih suka diam, fokus pada latihan dan tunjukkan kebolehan dalam gelanggang. Talk less, action more — itulah saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kemenangan di Indonesia telah melonjakkan popularitinya secara mendadak termasuk pengikut di media sosial meningkat dengan cukup drastik, malah ramai peminat dari Indonesia kini mula mengenalinya dan memuat naik video serta ulasan tentang gaya pertarungannya yang tenang dan berdisiplin.
“Saya terkejut bila ramai yang mula DM saya, ada yang panggil saya sombong sebab dah popular. Tapi saya tetap orang yang sama, saya hanya nak fokus dan terus maju.”
Dalam pada itu, di sebalik kekuatan mental dan fizikalnya, tersimpan kisah menyentuh hati. Kabilan mengakui bahawa ibunya merupakan sumber inspirasi terbesar dalam hidupnya selepas pemergian ayah tercinta.
“Saya berlawan untuk ibu. Dia satu-satunya insan yang saya sayang sepenuh hati. Walaupun dia tak tahu sangat pasal Muay Thai, dia selalu pesan — ‘Kamu pukul betul-betul, kamu lutut dia, kamu rembat kaki dia!’.”
Beliau juga berkongsi bahawa beliau mula mengenali dunia seni mempertahankan diri melalui silat, taekwondo dan kemudian Muay Thai.
Walaupun ibunya pada awalnya tidak membenarkan beliau terlibat dalam sukan yang dilihat keras dan penuh risiko, kemenangan demi kemenangan berjaya membuka pintu kepercayaan.
“Kali pertama saya menang, ibu saya cuma tanya — ‘Kamu okey? Kamu tak cedera?’ – Saya kata saya okey, dan dari situ dia mula sokong penuh.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai masa depannya, Kabilan bersedia untuk lebih banyak pertarungan termasuk di pentas Beyond, WBC dan lain-lain kejohanan utama.
Jelasnya, buat masa ini tiada sebarang sasaran spesifik selain mahu terus menang dan membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya juga mahu buat peminat Indonesia bangga, sebab mereka banyak sokong saya masa di sana.”