Real Madrid cuba ‘rampas’ Konate dari Liverpool secara percuma

64

Gergasi La Liga, Real Madrid dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan pertahanan kental Liverpool, Ibrahima Konate, secara percuma selepas kontraknya tamat pada 2026.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kelab Sepanyol itu untuk memperkukuh barisan pertahanan mereka selepas kejayaan membawa masuk Trent Alexander-Arnold juga secara percuma dari kelab Merseyside itu sebelum ini.


Menurut laporan media Sepanyol seperti Cadena SER dan AS, Real Madrid kini memantau rapat situasi Konate di Anfield.

Difahamkan pemain antarabangsa Perancis itu telah menolak tawaran lanjutan kontrak yang dikemukakan oleh Liverpool, satu petanda jelas bahawa beliau bersedia untuk menjadi sebahagian daripada Galacticos.

Liverpool dalam masa yang sama berada dalam dilema besar. Walaupun mereka masih berharap dapat meyakinkan Konate untuk kekal, kelab itu sedar risiko kehilangan pemain tersebut secara percuma jika tiada kata sepakat dicapai sebelum musim panas 2026.

Oleh itu, The Reds dikatakan sedia mempertimbangkan untuk menjualnya lebih awal dengan nilai anggaran sekitar €50–60 juta, sekiranya Real Madrid mahukan khidmatnya lebih cepat.

Dalam perkembangan lain yang mengejutkan, terdapat juga laporan yang mendakwa Liverpool sedang merancang tawaran pertukaran yang melibatkan Konate dan wang tunai sekitar £30 juta untuk mendapatkan penyerang lincah Real Madrid, Rodrygo.

Namun, cadangan ini masih dalam peringkat awal dan belum mendapat maklum balas rasmi daripada Los Blancos.

Konate, 26, telah menjadi tonggak utama dalam benteng Liverpool sejak menyertai dari RB Leipzig pada 2021.