Liverpool tolak tawaran £58 dari Bayern Munich untuk dapatkan Luis Diaz

79

Liverpool dilaporkan menolak tawaran pembukaan bernilai £58.6 juta daripada Bayern Munich bagi mendapatkan khidmat penyerang sensasi Colombia, Luis Diaz.

Menurut laporan BBC, Bayern telah menghubungi Liverpool awal bulan ini namun dimaklumkan bahawa Diaz tidak tersenarai untuk dijual. 


Sikap tegas itu diperkuatkan semalam apabila tawaran rasmi pertama daripada gergasi Bundesliga itu ditolak bulat-bulat oleh The Reds.

Liverpool menilai Diaz melebihi £87 juta memandangkan beliau kini dianggap sebagai salah seorang pemain tonggak dalam era baharu di bawah kendalian Arne Slot. 

Kontrak pemain berusia 28 tahun itu masih berbaki sehingga musim panas 2027, menjadikannya antara aset paling berharga kelab tersebut.

Diaz mencatatkan 22 gol sepanjang musim lalu untuk kelab dan negara, termasuk 13 gol dalam kempen Premier League yang menyaksikan Liverpool muncul juara dengan kelebihan 10 mata.

Pemain sayap lincah itu sebelum ini turut dikaitkan dengan Manchester City dan beberapa kelab dari Arab Saudi, namun Liverpool kekal dengan pendirian bahawa Diaz adalah sebahagian penting dalam perancangan jangka panjang mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Liverpool kini giat mencari seorang penyerang tengah baharu dan sedang berusaha mendapatkan bintang Sweden milik Newcastle United, Alexander Isak. 

Difahamkan, rundingan awal sedang berjalan dan The Reds turut meneroka beberapa pilihan lain di posisi tersebut menjelang musim 2025/26.