Rakan Muda Turun Kampus: Suara belia didengari, aspirasi disambut
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini menghadiri Program Rakan Muda Turun Kampus siri kelima bagi tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium, Han Chiang University College of Communication (HCUC), Pulau Pinang.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini merupakan platform interaktif yang memberi peluang kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) menyampaikan pandangan, aspirasi serta idea berkaitan pembangunan belia dan sukan secara langsung kepada pimpinan tertinggi kementerian.
Inisiatif ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai Keyakinan dan Ihsan — prinsip yang mendorong kerajaan untuk mendengar suara belia dan membuka ruang penyertaan dalam pembangunan negara.
Program Rakan Muda Turun Kampus bertujuan:
- Menyampaikan maklumat dasar dan inisiatif semasa kerajaan dalam pembangunan belia dan sukan;
- Menyediakan ruang dialog terbuka bersama mahasiswa;
- Memperkasa pelaksanaan Gaya Hidup Rakan Demokrasi dalam kalangan belia IPT.
Sebanyak 10 siri program dijadualkan sepanjang 2025 melibatkan penyertaan kira-kira 5,000 pelajar.
Aktiviti interaktif dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) turut memeriahkan program.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Daniel Gooi Zi Sen, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang; Naib Canselor HCUC, Prof. Madya Dr. Beh Kok Hooi; dan Pengarah JBS Negeri Pulau Pinang, Encik Mozakir Buyong Mokhtar.
KBS berharap program ini dapat merapatkan hubungan antara kerajaan dan mahasiswa, memperkukuh perpaduan serta membina generasi muda yang aktif, berwawasan dan bersuara dalam demokrasi Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, hubungi JBSN di 03-8871 3324 atau e-mel ke jbsn@kbs.gov.my.