Kyle Walker-Peters sertai West Ham secara perpindahan percuma
West Ham United telah mengumumkan kehadiran bek kanan England, Kyle Walker-Peters secara perpindahan percuma selepas pemain itu meninggalkan Southampton pada akhir musim lalu.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak tiga tahun bersama The Hammers dan dijangka menjadi antara tonggak penting di bawah kendalian Graham Potter.
Walker-Peters sebelum ini membuat 202 penampilan untuk Southampton sejak berhijrah secara tetap dari Tottenham pada musim panas 2020.
Pengurus West Ham, Graham Potter menyatakan rasa kagumnya terhadap pemain tersebut yang dianggap berpengalaman dan profesional.
“Dia seorang pemain yang sentiasa memberi cabaran apabila menentang pasukan saya. Dia masih belum berada di kemuncak karier dan saya percaya dia mampu memberi impak besar kepada pasukan ini,” katanya.
Terdahulu, Walker-Peters hampir menyertai kelab Turki, Besiktas, namun memilih West Ham selepas berbincang dengan Potter.
“Perbualan saya dengan Graham Potter menjadi faktor utama saya membuat keputusan ini. Saya sukakan gaya permainannya dan saya yakin ia sesuai dengan kekuatan saya,” kata pemain yang memiliki dua kaps bersama England itu.
West Ham sebelum ini telah menandatangani pertahanan Senegal, El Hadji Malick Diouf dari Slavia Prague dengan nilai £19 juta dan mengesahkan perpindahan kekal Jean-Clair Todibo dari Nice.
Mereka juga telah menjual pemain sayap, Mohammed Kudus ke Tottenham dengan harga £55 juta.