Nafuzi Zain yakin Harimau Muda sedia hadapi Indonesia dalam aksi ‘Do or Die’
Menjelang aksi hidup mati bertemu Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Mandiri 2025, ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain menyatakan kesediaan anak buahnya untuk memberi segalanya demi meraih tiket ke separuh akhir.
“Dari segi pemain, semuanya nampak berjalan lancar. Keadaan sangat positif dan pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan juga telah kembali berlatih. Insya-Allah mereka mungkin dapat diturunkan menentang Indonesia nanti,”
katanya.
Nafuzi turut berkongsi khabar gembira apabila dua tonggak Aliff Izwan dan Faris Danish sudah pulih dari kecederaan dan boleh diturunkan.
“Aliff sudah kembali berlatih, begitu juga Faris. Keadaan mereka semakin baik dan mungkin dapat diturunkan.”
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan perubahan dalam barisan kesebelasan utama, Nafuzi menjelaskan bahawa tiada perubahan besar dirancang, sebaliknya pemilihan pemain akan berdasarkan kesesuaian taktikal untuk menentang Indonesia.
Nafuzi pada masa sama turut mengakui pasukan lawan merupakan pasukan yang mantap dari segi fizikal dan taktikal.
“Dua perlawanan mereka sebelum ini menunjukkan kekuatan individu dan corak permainan pantas. Ramai pemain mereka juga beraksi di liga utama Indonesia, jadi kematangan permainan itu jelas terlihat.”
Sementara itu, Harimau Muda kini dalam misi wajib menang ke atas tuan rumah jika mahu menghidupkan peluang mara ke peringkat separuh akhir.