Penyerang Cameroon, Bryan Mbeumo kini milik Manchester United

86

Manchester United akhirnya melengkapkan perpindahan bintang Cameroon, Bryan Mbeumo, dari Brentford dengan nilai permulaan £65 juta. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan lanjutan setahun dan akan menyarung jersi nombor 19.


Pengumuman ini sekaligus mengakhiri spekulasi panjang sejak bidaan pertama United pada awal Jun lalu. 

Selepas dua tawaran awal ditolak, United berjaya meyakinkan Brentford dengan tawaran ketiga bernilai £65 juta dan tambahan £6 juta insentif.

“Sebaik tahu United berminat, saya tahu ini peluang yang tak boleh dilepaskan. Ini kelab impian saya. Saya pakai jersi ini sejak kecil,” kata Mbeumo.

Bekas pemain Troyes itu menjaringkan 70 gol dan 51 bantuan gol dalam 242 penampilan bersama Brentford sejak 2019. 

Musim lalu, beliau mencatat 20 gol dan tujuh bantuan dalam saingan Liga Perdana – rekod terbaik dalam kariernya.

Mbeumo menjadi rekrut ketiga Ruben Amorim selepas Matheus Cunha dan Diego Leon. Amorim menyifatkan Mbeumo sebagai pemain konsisten yang memiliki mentaliti juara dan sesuai dengan projek jangka panjang United.

Pengarah bola sepak Brentford, Phil Giles, turut mengucapkan terima kasih kepada Mbeumo atas enam musim cemerlang dan menyifatkannya sebagai pemain yang berkembang menjadi ikon kelab.