Saya akan pastikan kami layak ke Piala Asia B-23 – Aliff Izwan
Pemain tengah Harimau Muda, Aliff Izwan, meluahkan kekecewaan selepas gagal membantu skuad negara mara ke separuh akhir Piala Mandiri 2025, namun tekadnya kini terarah untuk memastikan Malaysia layak ke Piala Asia B-23 2026.
Menurut Aliff, beliau sendiri kecewa dengan prestasinya dan pasukan namun pengalaman dari tiga perlawanan di kejohanan itu akan dijadikan sebagai pengajaran berguna untuk menghadapi cabaran lebih besar di kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Thailand pada September depan.
“Bagi saya, saya rasa kecewa sikit dengan diri saya sendiri. Saya tak dapat nak bantu pasukan saya dengan baik. Tapi saya akan pastikan yang pasukan saya akan layak ke Piala Asia B-23 nanti.
Ketiga-tiga perlawanan, kami ada peluang, tapi kami gagal terjemahkan peluang itu kepada jaringan. Itu yang perlu kami perbaiki. Kami perlu lebih tajam di hadapan gol,”
katanya.
Dalam pada itu, Aliff turut menafikan bahawa wujudnya masalah komunikasi antara pemain, sebaliknya berkata keserasian dalam padang memerlukan masa.
“Kalau nak diikutkan, saya rasa tiada masalah dari segi komunikasi kerana kami semua sudah lama berkawan. Cuma, mungkin dari segi keserasian di atas padang masih kurang sedikit kerana ada beberapa muka baharu dalam pasukan.
Jadi, perkara itu perlukan sedikit masa untuk serasi sepenuhnya. Tak lama lagi kita akan hadapi kelayakan, jadi biarlah kita bersiap sebaik mungkin.”
Aliff turut menekankan kepentingan untuk membuat persedian rapi bagi memastikan dirinya dalam prestasi terbaik sebelum menggalas tanggunjawab besar di pentas Asia nanti.
“Tekanan itu ada, tapi kami kena bijak kawal tekanan dan cepat adaptasi dengan perancangan jurulatih.”
Sementara itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Thailand, Lubnan dan Mongolia untuk aksi kelayakan yang akan menentukan laluan ke pentas utama Asia tahun hadapan.