Yoane Wissa tinggalkan kem latihan Brentford, tiga kelab EPL tunjuk minat
Penyerang Brentford, Yoane Wissa dilaporkan telah meninggalkan kem latihan pra-musim pasukannya di Portugal dan pulang ke London, sekali gus mencetuskan spekulasi hangat mengenai masa depannya.
Dipetik dari BBC, keputusan ini hadir ketika minat dari tiga kelab Premier League iaitu Newcastle United, Tottenham Hotspur dan Nottingham Forest semakin meningkat untuk mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Republik Demokratik Congo itu.
Wissa akan mengadakan perbincangan bersama Pengarah Bola Sepak Brentford, Phil Giles dalam masa terdekat.
Difahamkan ketiga-tiga kelab tersebut mampu menawarkan peluang bermain di pentas Eropah musim depan, dan tiada isu dalam mencapai persetujuan peribadi, terutama dengan Newcastle dan Spurs yang kini agresif mengorak langkah.
Brentford sebelum ini cuba menawarkan lanjutan kontrak kepada Wissa, namun pemain itu dilaporkan lebih cenderung untuk mencari cabaran baharu.
Dengan hanya 12 bulan baki dalam kontraknya (terdapat pilihan lanjutan setahun), dan usianya bakal mencecah 29 tahun September ini, Brentford berisiko kehilangan aset bernilai tinggi yang dianggarkan sekitar £40 juta.
Wissa menyertai Brentford dari Lorient pada Ogos 2021 dan telah menjaringkan 49 gol dalam 149 perlawanan.
Musim lalu, beliau meledak 19 gol dalam 35 perlawanan Liga Perdana — rekod terbaiknya setakat ini. Brentford kini dijadualkan menentang Gil Vicente dalam aksi persahabatan pra-musim pada 25 Julai.