Dion Cools hormat keputusan FAM tarik diri dari CAFA, kini fokus pada misi kelayakan Piala Asia 2027

193

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools menghormati keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menarik diri daripada kejohanan CAFA Nations Cup baru-baru ini.

Menurut Dion, walaupun berasa terkilan skuad negara tidak dapat terlibat dalam kejohanan tersebut, namun beliau meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan pasukan.


“Saya tiada sebarang kuasa untuk membuat keputusan dalam hal ini. Bagi saya, memang ia sesuatu yang mengecewakan, tetapi pada masa yang sama saya percaya seluruh barisan pengurusan tahu apa yang mereka lakukan. Saya rasa setakat ini kita telah melakukan kerja yang sangat baik dalam pusingan kelayakan Asia — dan itu adalah perkara yang paling penting bagi kami,” 

katanya.

Dion menegaskan bahawa fokus utama kini harus terarah kepada misi kelayakan Piala Asia 2027, yang dianggap lebih penting dalam perancangan jangka panjang Harimau Malaya.

“Saya juga percaya bahawa pada bulan September nanti, penting untuk memperkukuh keserasian dalam pasukan, bersedia menjelang Oktober dan memenangi dua perlawanan penting itu. Sebab akhirnya, matlamat kami adalah untuk layak ke Arab Saudi, dan buat masa ini kami berada di landasan yang baik.”

Dalam pada itu, Dion enggan mengulas atau membuat spekulasi mengenai perancangan perlawanan persahabatan pada kalendar FIFA akan datang, sebaliknya menaruh keyakinan penuh kepada pihak pengurusan.

“Anda tahu saya tidak dapat jawab dengan tepat kerana saya tiada maklumat tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan. Tetapi saya percaya pihak pengurusan akan membuat keputusan yang tepat. Kita semua perlu percaya dan yakin bahawa mereka akan memilih jalan terbaik. Jadi saya tidak akan panik dan kita semua perlu kekal bersatu.”

Sementara itu, Dion turut menceritakan pengalaman berharganya selepas berhijrah ke Jepun bersama kelab Cerezo Osaka.

“J League jauh lebih kompetitif daripada liga-liga Asia Tenggara. Tapi staf dan rakan sepasukan sangat membantu. Saya juga sedang belajar bahasa Jepun sebagai tanda hormat dan untuk memudahkan komunikasi.”

Beliau turut mengulas debutnya dalam Osaka Derby menentang Gamba Osaka pada 5 Julai lalu yang mana walaupun keputusan tidak memihak kepada pasukannya, beliau sempat mencipta satu bantuan gol sebelum ianya dibatalkan kerana ofsaid.