Rashford anggap Barcelona seperti rumah sendiri

85

Marcus Rashford menyatakan rasa teruja dan bersyukur selepas melengkapkan perpindahan pinjaman selama semusim ke Barcelona daripada Manchester United. 

Dipetik dari BBC, penyerang England berusia 27 tahun itu menyertai kelab La Liga itu secara pinjaman selama 12 bulan dengan pilihan perpindahan tetap bernilai £30.3 juta pada 2026.


Rashford menjadi pemain Inggeris pertama menyarung jersi Barcelona sejak Gary Lineker pada 1986. Sepanjang kerjayanya di Old Trafford sejak 2016, Rashford telah menjaringkan 138 gol dalam 426 perlawanan dan memenangi lima trofi utama.

“Saya sangat gembira kerana Barcelona adalah kelab impian ramai pemain. Ia tempat di mana impian menjadi kenyataan,” katanya. “Saya rasa seperti di rumah sendiri.”

Rashford juga tertarik dengan visi pengurus Hansi Flick yang membawa kejayaan kepada pasukan muda musim lalu. 

Menurutnya, perbualan bersama Flick memberi keyakinan bahawa ini adalah langkah tepat dalam kerjayanya.

Barcelona akan membayar sepenuhnya gaji Rashford selepas beliau bersetuju menerima potongan gaji, sekali gus menjimatkan Manchester United sehingga £15 juta.

Pemain itu telah mula berlatih dan dijangka menyertai jelajah pra-musim ke Jepun minggu ini, sekaligus memulakan babak baharu dalam karier profesionalnya.