FAM sedia ambil alih AMD dan NFDP – Joehari Ayub
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengesahkan bahawa pihaknya bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih tanggungjawab mengurus Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), sekiranya ia diserahkan semula kepada badan induk itu.
“Kami di FAM memang sudah bersedia. Malah, rangka kerja awal sedang dirangka bagaimana kami akan kendalikan jika AMD atau NFDP dikembalikan di bawah FAM,”
katanya.
Menurut Joehari, kelebihan FAM ialah fokusnya yang sepenuhnya kepada bola sepak, sekali gus diyakini mampu memberi nilai tambah dalam pembangunan akar umbi secara lebih berkesan dan teknikal.
Dalam pada itu, Joehari turut menegaskan menegaskan bahawa semua lapisan pasukan kebangsaan, daripada skuad senior hinggalah skuad muda diberikan perhatian yang sama tanpa pilih kasih.
“Saya pastikan semua pasukan mendapat layanan terbaik, tidak ada bias terhadap mana-mana kategori umur.”
Beliau pada masa sama turut mengulas mengenai prestasi skuad B-23 negara yang gagal melangkah ke peringkat kalah mati di kejohanan Piala Mandiri B-23 2025 baru-baru ini.
“Walaupun mereka pasukan baharu dengan jurulatih baharu, prestasi mereka sangat baik. Cuma malam lawan Filipina mungkin tiada rezeki. Tapi mereka telah menunjukkan kualiti dalam tempoh persiapan yang singkat.”
Sementara itu, Joehari juga berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Malaysian Football League (MFL) untuk mengenal pasti ruang yang boleh memberi peluang lebih luas kepada pemain muda, termasuk pertimbangan mewujudkan kuota pemain muda dalam Liga Super dan Liga A1.