Liga Wanita Nasional 2025/26 lonjak ekosistem bola sepak wanita negara – Suraya Yaacob

149

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob meluahkan rasa teruja dan bangga dengan pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025/26 yang disifatkannya sebagai satu pencapaian luar biasa dalam landskap bola sepak wanita tanah air.

“Saya sangat gembira kerana buat pertama kalinya kerajaan benar-benar memberi pengiktirafan kepada bola sepak wanita. Ini bukan sahaja tentang sukan, tetapi tentang membina ekosistem wanita secara keseluruhan di Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Suraya, antara penambahbaikan utama musim ini ialah kebenaran untuk setiap pasukan mendaftarkan dua pemain import, selain jadual pertandingan yang telah disahkan awal iaitu satu langkah penting untuk memastikan kelancaran liga. 


Suraya turut menekankan kepentingan penglibatan pegawai wanita dalam pasukan sebagai satu nilai tambah.

Dalam pada itu, Suraya juga teruja dengan penyertaan skuad remaja negara, Young Tigress dalam saingan LWN musim ini di mana ia akan memberi ruang dan peluang kepada pasukan itu mendapat perlawanan kompetitif.

“Young Tigress disertakan dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) kerana pemain bawah umur ini merupakan antara yang terbaik di Malaysia. Mereka sebelum ini sukar mendapat peluang untuk bertanding secara langsung menentang pasukan yang kompetitif. 

Justeru, penyertaan sebagai sebuah pasukan dalam LWN memberi ruang kepada mereka untuk menjalani latihan intensif dan beraksi secara konsisten sepanjang enam bulan tanpa perlu menganjurkan kejohanan berasingan.”

Malah pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membolehkan pemain-pemain remaja tersebut mengikuti pembelajaran sambil beraksi secara kompetitif sepanjang musim.

Suraya turut yakin LWN edisi kali ini mampu melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti yang bakal menggantikan pemain senior sedia ada.

“Kita akan tampilkan pemain-pemain muda yang pasti akan dipanggil ke latihan pusat dan bakal memperkuat skuad kebangsaan dalam masa terdekat.”

Sementara itu, mengulas impian untuk melihat perlawanan LWN berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Suraya menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh untuk menganjurkan final LWN di venue ikonik tersebut jika keadaan mengizinkan.