Gibbs-White kekal di Forest, tandatangani kontrak baharu tiga tahun

40

Nottingham Forest mengesahkan pemain tengah mereka, Morgan Gibbs-White telah menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun, sekali gus menamatkan spekulasi perpindahannya ke Tottenham Hotspur. 

Dipetik dari BBC, perjanjian ini turut dilabel sebagai “rekod kelab” oleh Forest, menggambarkan kepentingan pemain itu dalam perancangan masa depan kelab.


Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan bernilai £60 juta ke Spurs, namun Forest menegaskan mereka tidak pernah memberi kebenaran kepada kelab lain untuk berbincang dengan Gibbs-White. 

Malah, mereka mempertimbangkan tindakan undang-undang atas dakwaan pelanggaran perjanjian kerahsiaan dalam klausa pelepasannya.

Sejak menyertai Forest dari Wolves pada 2022, Gibbs-White telah menjaringkan 18 gol dan mencipta 28 bantuan jaringan dalam 118 penampilan. 

Musim lalu, beliau memainkan peranan penting membantu kelab itu menamatkan Liga Perdana di kedudukan ketujuh dan layak ke pentas Eropah.

“Saya percaya dengan projek yang sedang dibina di Forest dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” kata Gibbs-White. 

Pemilik kelab, Evangelos Marinakis turut menegaskan bahawa Gibbs-White akan menjadi tonggak utama dalam perjalanan masa depan Forest.