Dilantik sebagai duta Puma jadi pembakar semangat! Arif Aiman seru pemain muda terus berimpian
Pemain kebangsaan sensasi, Arif Aiman Hanapi berasa satu penghormatan besar buat dirinya apabila dilantik sebagai duta rasmi jenama sukan terkemuka dunia, Puma Malaysia.
Menurut Arif, pelantikannya sebagai duta akan menjadi pemabar semangat buat dirinya untuk terus meningkatkan prestasi di atas padang.
“Alhamdulillah, saya bangga dengan peluang ini. Ia satu detik yang membahagiakan buat saya untuk menjalinkan kerjasama dengan Puma. Saya akan belajar dan berikan yang terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Arif lagi, pelantikan ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga satu permulaan baharu dalam perjalanan kariernya.
Beliau mengakui peranan sebagai duta memberikan inspirasi untuk terus memperbaiki diri dalam setiap aksi.
Dalam pada itu, Arif juga tidak menyangka bahawa ramai pemain muda di peringkat akar umbi menjadikan dirinya sebagai idola.
Justeru, beliau menitipkan pesanan buat mereka agar berani bermimpi dan tidak takut untuk mencuba.
“Jangan takut untuk berimpian tinggi. Selagi impian itu ada, kita boleh capai. Jangan takut gagal, kerana peluang itu sentiasa ada kalau kita terus berusaha.”
Sementara itu, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut berkongsi bahawa beliau juga banyak belajar daripada pemain warisan lain yang kini turut menghiasi Liga Malaysia.