Harap tahun 2022 ada sinar untuk saya dapat panggilan ke skuad kebangsaan – Sean Selvaraj
Pemain sayap lincah Sean Selvaraj teruja dapat kembali ke menabur bakti kepada pasukan lamanya iaitu Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk saingan Liga Super musim 2022.
Menurut Sean, beliau memilih untuk kembali beraksi di pasukan negeri kelahirannya selepas tidak menyambung kontrak bersama Selangor FC.
“Negeri Sembilan adalah pasukan kelahiran saya yang mana saya mula diperkenalkan dalam Liga Malaysia, jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan dalam saingan Liga Super dengan pengalaman saya selama empat tahun di Selangor.
Saya mahu pastikan pasukan kekal dalam Liga Super dan mahu pastikan pasukan kami mampu beri saingan sengit kepada pasukan besar dalam liga,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Sean lagi, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap NSFC pada musim ini kerana skuad kendalian K. Devan ketika ini berada dalam prestasi terbaik.
Selepas lebih lima tahun beraksi, pada tahun ini pemain berusia 25 tahun ini menyasarkan untuk mendapat panggilan beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Selain dari membantu pasukan dalam saingan liga, salah satu lagi sasaran saya pada tahun ini adalah harap 2022 ada sinar untuk saya dapat panggilan ke skuad kebangsaan kerana sehingga kini saya masih belum mendapat peluang itu.”
NSFC akan membuka tirai saigan Liga Super pada 4 Mac ini apabila mereka akan bertandang ke Stadium Likas untuk menentang Sabah FC.