Newcastle sasar Aaron Ramsdale sebagai penjaga gol baharu

52

Newcastle United kini sedang dalam rundingan awal dengan Southampton untuk mendapatkan khidmat penjaga gol England, Aaron Ramsdale. 

Dipetik dari BBC, kelab Premier League itu dilaporkan mempertimbangkan sama ada untuk membawa masuk Ramsdale secara pinjaman atau pembelian tetap.


Namun begitu, Southampton lebih cenderung untuk menjual pemain itu secara kekal dengan nilai yang besar, memandangkan mereka membayar yuran awal sebanyak £18 juta kepada Arsenal ketika menandatanganinya pada Ogos 2024. 

Ramsdale merupakan antara pemain utama musim lalu, tampil dalam 30 perlawanan liga walaupun Southampton tersingkir ke Championship dengan hanya 12 mata.

Perpindahan ini berpotensi menyatukan semula Ramsdale dengan bekas pengurus Bournemouth, Eddie Howe, yang kini menerajui Newcastle. 

The Magpies sedang mencari penjaga gol yang mampu mencabar Nick Pope bagi posisi utama, terutama menjelang kempen Champions League musim ini.

Terdahulu, Newcastle hampir mendapatkan James Trafford dari Burnley dengan yuran £27 juta sebelum Manchester City menggunakan klausa padanan untuk menandatangani semula bekas bintang akademi mereka itu.

Dalam masa sama, Newcastle juga menghadapi ketidaktentuan mengenai masa depan penyerang utama mereka, Alexander Isak, yang menarik minat Liverpool. 

Sebagai langkah persediaan, Benjamin Sesko dari RB Leipzig dilaporkan sedang dipantau sebagai pengganti berpotensi.