Pasukan negeri & kelab Korea Selatan jadi pemangkin daya tarikan Liga A1 musim ini

107

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata penyertaan semula pasukan berasaskan negeri seperti Perlis, Perak dan Kedah, serta kemasukan kelab luar negara dari Korea Selatan, Seoul Phoenix FC, dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan daya tarikan Liga A1 Semipro musim 2025/26.

Menurut Yusoff, dengan ketiadaan Liga Perdana (yang dikendalikan MFL) musim ini, Liga A1 Semipro secara automatik menjadi liga aras kedua tertinggi dalam hierarki bola sepak Malaysia. 


“Secara automatik, liga semi-pro ini akan menjadi second tier of Malaysian football. Dengan adanya pasukan-pasukan negeri ni, tentu sekali mereka akan membawa penyokong-penyokong setia untuk bersama. 

Kalau dulu kebanyakan pasukan dalam Liga A1 adalah kelab yang berasaskan pemilikan individu dan tidak mempunyai sokongan besar. Tapi kali ini, faktor negeri akan menjadi penarik utama kepada kehadiran penonton,”

katanya.

Tambah Yusoff lagi, gabungan faktor penyokong setia negeri dan struktur liga yang lebih tersusun bakal menjadikan Liga A1 lebih kompetitif dan menarik musim ini.

Dalam pada itu, Yusoff turut berkata kolaborasi dengan Astro sebagai penyiar rasmi dilihat mampu mengangkat martabat liga ke tahap lebih tinggi.

Biarpun kerjasama masih berada pada peringkat awal atau fasa ‘perkenalan’ namun, beliau optimis bahawa ia merupakan langkah strategik yang berpotensi untuk diteruskan dalam jangka masa panjang.

“Setakat ini kita cuba untuk musim ini dahulu. Tapi saya fikir ia akan berpanjangan. Pada pandangan saya, kerjasama dengan Astro ini mempunyai potensi untuk diteruskan.”

AFL juga telah memilih slot siaran utama pada hari Isnin untuk mengelak pertindihan langsung dengan perlawanan Liga Super yang sinonim pada hujung minggu.

“Kita pilih hari Isnin sebagai hari khas untuk Liga A1. Perlawanan-perlawanan yang dianggap menarik akan dijadualkan pada hari tersebut bagi meningkatkan pendedahan.

Liga A1 ini bukan untuk bersaing dengan Liga Super, tetapi untuk melengkapi – menyediakan platform pembangunan bagi pemain dan pasukan menuju ke tahap yang lebih tinggi.”

Sementara itu, Liga A1 pada musim ini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur piramid bola sepak Malaysia.