UMD sasar Top 4 Liga A1 musim ini – Ridzuan Abu Shah
Ketua jurulatih Universiti Malaya Damansara United (UMD), Ridzuan Abu Shah menyatakan keyakinannya terhadap persiapan pasukannya menjelang saingan Liga A1 Semipro 2025/2026, dengan sasaran utama untuk menamatkan musim di kelompok empat terbaik.
Menurut Ridzuan, selepas menjalani latihan intensif selama lima hingga enam minggu serta beberapa ujian kejegasan, barisan pemainnya menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Ujian tahap dua hari ini penting untuk menilai zon kecergasan pemain, dan setakat ini mereka lulus dengan baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Ridzuan lagi, pasukannya turut mengharungi tiga perlawanan persahabatan yang disifatkan cukup positif, meskipun skuad ini merupakan gabungan baharu pemain muda dan berpengalaman.
Dalam pada itu, Ridzuan turut mengakui keterujaannya selepas enam tahun kembali membimbing pasukan gabungan pemain profesional, pelajar dan import.
“Saya rasa ini adalah impak baharu untuk pasukan. Liga A1 menjadi platform terbaik untuk tonjolkan bakat tempatan.”
Beliau turut memuji peraturan had tiga pemain import yang membolehkan lebih ramai pemain tempatan tampil menyerlah.
“Kalau terlalu ramai import, bakat tempatan akan tenggelam. Tapi A1 beri peluang seimbang untuk semua.”
Sementara itu, Ridzuan juga teruja dengan undian menentang juara bertahan JDT dalam Piala FA, yang disifatkan sebagai peluang keemasan memperkenalkan nama UMD di pentas lebih tinggi.