Bintang muda Belanda, Jorrel Hato kini bersama Chelsea
Chelsea secara rasmi mengumumkan kehadiran pertahanan muda sensasi Ajax, Jorrel Hato, dengan nilai perpindahan sekitar £37 juta.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 19 tahun itu menandatangani kontrak selama tujuh tahun selepas menjalani pemeriksaan perubatan di London hujung minggu lalu.
Hato merupakan pemain kelapan yang dibawa masuk oleh juara Piala Dunia Kelab FIFA itu dalam jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain antarabangsa Belanda itu tampil penuh semangat selepas diperkenalkan sebagai pemain baharu The Blues.
“Saya sangat teruja dan gembira berada di sini. Saya mahu ambil langkah seterusnya dalam karier saya dan Chelsea adalah tempat terbaik untuk itu,” katanya.
Hato merupakan produk akademi terkenal Ajax dan membuat penampilan sulung bersama skuad utama seawal usia 16 tahun.
Beliau juga pernah menjadi kapten kelab itu pada usia 17 tahun, sebelum mengumpul 111 penampilan.
Di peringkat antarabangsa, Hato membuat debut bersama skuad senior Belanda pada 2023 dan kini memiliki enam kaps.