Kemenangan ini saya anggap sebagai pencetus kepada siri kejayaan yang lain – Daud Bakar
Pemilik tunggal Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Machan FC dalam aksi sulung Liga A1 Semi Pro 2025/26 sebagai satu kejayaan penting yang menyuntik keyakinan tinggi kepada pasukan muda kendaliannya.
Menurut Daud Bakar, kejayaan pada perlawanan pembukaan ini amat bermakna memandangkan skuad KDA dibentuk dalam masa singkat dengan majoriti pemain muda.
“Kemenangan ini saya anggap sebagai pencetus kepada siri kejayaan yang lain. Ia satu tonik keyakinan, hilang gerun dan bukti bahawa kita mampu melakukan lebih baik. Saya wajibkan kemenangan malam ini, dan Alhamdulillah, mereka buktikan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Daud Bakar juga berkongsi kata-kata semangat kepada para pemain sebelum mereka turun beraksi.
“Saya sendiri turut berpesan kepada mereka: jangan sesekali kita melebih-lebihkan kemampuan diri (overestimate ourselves) dan jangan juga memandang rendah keupayaan lawan (underestimate the opponent). Itulah formula kegagalan dalam mana-mana pertempuran. Tetapi dalam masa yang sama, jangan gentar atau gugup.
Turun ke padang dengan semangat dan keyakinan bahawa kita mampu menewaskan lawan. Alhamdulillah, semangat itu dapat dilihat dalam aksi mereka – mereka benar-benar turun dengan misi untuk mencipta kejayaan.”
Dalam pada itu, Daud Bakar turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan padu ribuan penyokong Hijau Kuning yang hadir ke stadium, menyifatkan kehadiran mereka sebagai “sayap bagi seekor burung” yang menggerakkan pasukan ke hadapan.
Jelasnya, pihaknya perlu mengambil kira setiap sokongan peminat, samada dalam bentuk sorakan, kritikan atau diam kerana semuanya membawa makna tersendiri kepada sebuah pasukan.
Tambahnya lagi, pasukan KDA wujud untuk rakyat, dan suara rakyat itulah yang mencerminkan hala tuju dan jiwa sebenar Sang Kenari.
Berikutan itu, beliau menyeru penyokong untuk terus bersama-sama menyokong, mengkritik dengan jujur dan menyumbang semangat demi membina masa depan cerah buat skuad muda KDA di pentas Liga A1.