Tiada layanan istimewa untuk Isak – Eddie Howe

106

Pengurus Newcastle United, Eddie Howe, menegaskan bahawa Alexander Isak tidak akan diberikan layanan istimewa selepas pemain itu menyatakan hasrat untuk berpindah dan Liverpool pula mengemukakan bidaan rasmi bernilai £110 juta yang telah ditolak oleh kelab.

Dipetik dari BBC, Isak, 25, yang sebelum ini tidak menyertai jelajah pramusim Newcastle ke Asia atas alasan kecederaan paha ringan, dilihat menjalani latihan secara bersendirian di kelab lamanya, Real Sociedad. 


Beliau kembali ke kem latihan Newcastle pada Isnin, namun belum lagi berlatih bersama skuad utama.

“Dia seperti mana-mana pemain lain – dia perlu mendapatkan hak untuk berlatih bersama pasukan,” kata Howe. 

“Kami adalah Newcastle United. Setiap pemain perlu menunjukkan komitmen dan sikap profesional untuk menjadi sebahagian daripada pasukan. Jika tidak, mereka tidak akan dilibatkan.”

Isak menyertai Newcastle pada 2022 dari Sociedad dengan nilai perpindahan sekitar £60 juta dan menjaringkan 27 gol dalam 42 penampilan musim lalu.

Beliau juga menjadi antara tonggak penting yang membantu kelab layak ke Champions League serta memenangi EFL Cup menewaskan Liverpool.

Howe turut mengesahkan belum ada perkembangan lanjut daripada Liverpool sejak bidaan ditolak, dan masa depan Isak masih belum diputuskan sepenuhnya.