Zaquan Adha masih mampu galas tanggungjawab sebagai penyerang negara
Kapten pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha bersikap optimis mampu menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang.
Menurut Zaquan, beliau masih mahu terus menabur bakti kepada negara tercinta dan jika prestasinya berada pada tahap terbaik, sudah pasti beliau mahu menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya optimis jika kudrat saya masih lagi diperlukan selagi saya berada dalam kancah liga bola sepak Malaysia, saya akan terima tanggungjawab ini sekiranya terpilih.
Tetapi bagi saya apa pun yang paling penting adalah pastikan persembahan saya sentiasa berada pada tahap terbiak. Bagi saya senang, jika anda tidak perform, anda tidak layak berada dalam skuad negara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Melihat situasi ketika ini, hanya pemain berusia 34 tahun yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab sebagai penyerang dalam kesebelasan utama skuad negara berikutan Malaysia ketandusan penyerang muda prolifik.
Situasi ini berlaku berikutan kebanyakan pasukan dalam saingan Liga Malaysia menggunakan pemain import sebagai penyerang utama sekaligus menutup ruang buat penyerang tempatan untuk menyerlah.
Zaquan mula menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun 2004 untuk Malaysia B-20, B-23 dan kemudian diserap ke skuad senior pada tahun 2008.
Sepanjang lebih sedekad, beliau sudah membuat sebanyak 35 penampilan dengan menjaringkan sembilan gol.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai sasaran pasukannya pada musim ini, Zaquan yakin skuad yang diberi jolokan Hobin Jang Hobin mampu menjadi mengikut jejak langkah seperti pasukan Penang FC yang mampu menduduki tangga ketiga selepas kembali ke Liga Super pada tahun yang sama.
“InsyaAllah tiada apa pun mustahil dalam bola sepak ini. Sebagai contoh lihat saja Penang FC pada musim lalu yang baru naik Liga Super tiada siapa sangka kemampuan mereka tetapi mereka akhirnya berada pada kedudukan liga pada penghujung musim.
Jadi tiada yang mustahil buat kami (NSFC), ya kami menang dengan KL City FC pada perlawanan pramusim baru-baru ini tetapi ia sekadar perlawanan pramusim, masih terlalu awal untuk kami mendabik dada, cuma kemenangan dengan KL beri satu motivasi untuk kami berjuang dalam Liga Super.”