Crystal Palace terpaksa hadapi pusingan ‘play-off’ Conference League walaupun masih rayu penyingkiran UEFA

124

Crystal Palace bakal berdepan sama ada Fredrikstad dari Norway atau Midtjylland dari Denmark dalam aksi play-off Conference League (UECL), meskipun kelab itu masih menunggu keputusan rayuan terhadap penyingkiran daripada Liga Europa.

Dipetik dari BBC, Palace sebelum ini dijatuhkan hukuman oleh UEFA berikutan pelanggaran peraturan pemilikan pelbagai kelab. 


Ini susulan pemilikan saham oleh ahli perniagaan Amerika, John Textor, dalam Palace dan juga sebagai pemilik majoriti kelab Perancis, Lyon – kedua-dua pasukan layak ke Europa League. 

UEFA melarang dua kelab yang dimiliki entiti sama bertanding dalam kejohanan Eropah yang sama, dan Palace gagal membuktikan penstrukturan semula pemilikan sebelum tarikh akhir 1 Mac 2025.

Kelab itu telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan perbicaraan ditetapkan pada 8 Ogos dan keputusan dijangka diumumkan pada 11 Ogos. 

Rayuan Palace bukan sahaja melibatkan UEFA, tetapi turut menyentuh Lyon dan Nottingham Forest — yang dijangka akan menggantikan Palace dalam Liga Europa jika rayuan ditolak.

Walaupun begitu, Palace tetap dimasukkan dalam undian play-off UECL dan dijadualkan menentang pasukan yang kalah dalam kelayakan Europa League antara Fredrikstad dan Midtjylland. 

Perlawanan pertama bakal berlangsung di Selhurst Park pada 21 Ogos, manakala aksi timbal balik dijadual pada 28 Ogos. Pemenang akan mara ke saingan liga 36 pasukan.