Kehadiran TMJ, Sanusi & Zamsaham tambah seri Liga Malaysia

4,034

Sedikit kelegaan untuk peminat bola sepak tempatan khususnya buat penyokong bola sepak negeri Johor apabila JDT memenangi perlawanan merebut Piala Sumbangsih 2022 menentang Kuala Lumpur City FC.

Hal ini berikutan kenyataan daripada pemilik kelab berkenaan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang ingin meletakkan jawatan sekiranya pasukannya tewas dalam perlawanan tersebut.


Sumber: Official Johor IG

Sukan bola sepak itu sendiri memerlukan seorang figura yang mempunyai personaliti yang cukup berkarisma tinggi. Ianya seolah-olah menjadi perencah yang mencukupkan rasa untuk sukan itu sendiri. Lihat sahajalah Jose Mourinho, jurulatih Roma berbangsa Portugis yang cukup dikenali dengan gelaran The Special One.

Siapa yang tidak kenal dengan beliau. Karakter beliau yang seringkali dianggap bongkak dan meninggi diri menjadi pelengkap kepada sukan bola sepak itu sendiri. Pelbagai kejayaan yang telah beliau kecapi selaku pengurus bersama Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United.

Jurgen Klopp pula lebih senang untuk digelar The Normal One. Bersama-sama Pep Guardiola, Antonio Conte, Thomas Tuchel dan Ralf Ragnick, nama-nama besar ini mempunyai pengaruh kuat dalam memastikan kerancakan liga bola sepak di England.

Jika dilihat dalam Liga Malaysia, individu yang mempunyai pengaruh yang cukup kuat dan berkarisma tinggi adalah tidak lain tidak bukan, TMJ sendiri. Baginda mempunyai karakter yang cukup besar dalam membantu JDT mengecapi pelbagai kejayaan peringkat domestik dan antarabangsa.

Presiden KFA, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman juga merupakan antara individu yang dilihat boleh menjadi pencetus kepada kerancakan Liga Malaysia.

Presiden KFA misalnya sering mengeluarkan kenyataan yang bersifat banter yang dilihat mengusik pasukan-pasukan lain. Kenyataan beliau mendapat pelbagai reaksi daripada peminat-peminat bola sepak tempatan. Hal ini secara tidak langsung turut memeriahkan lagi liga di negara kita.

Pemilik Kelantan yang lebih dikenali sebagai Zamburger atau Zamsaham juga merupakan antara individu yang dilihat begitu berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dilihat mencabar pihak-pihak berwajib yang mentadbir liga bola sepak di negara kita.

Bola sepak tempatan amat memerlukan karakter dan personaliti seperti ini. Mereka mempunyai passion, aura dan semangat yang tinggi dalam membawa pasukan bola sepak mereka mencapai kejayaan.

Selain itu, kehadiran mereka juga menjadi antara punca mengapa liga Malaysia semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat di dalam dan di luar negara.