Marc Guiu sertai Sunderland secara pinjaman, sedia gegar Premier League
Sunderland mengumumkan ketibaan penyerang muda berbakat Chelsea, Marc Guiu, secara pinjaman selama semusim sebagai persiapan menghadapi kempen Premier League 2025/26.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 19 tahun itu menyertai Chelsea dari Barcelona pada Julai 2024 dengan yuran perpindahan sekitar £5 juta.
Guiu yang digelar sebagai “penjaring semula jadi” dan “penyerang yang bertenaga”, menjaringkan enam gol dalam 16 perlawanan musim lalu bersama Chelsea.
Ketika bersama Barcelona, beliau mencipta sejarah apabila menjaringkan gol hanya selepas 33 saat dalam penampilan sulung ketika menentang Athletic Bilbao pada Oktober 2023.
Di Chelsea pula, beliau menjadi pemain kedua termuda kelab itu yang mencatat hatrik – ketika menentang Shamrock Rovers dalam saingan Liga Persidangan.
“Saya sangat teruja untuk menyertai Sunderland. Ini peluang besar buat saya membantu kelab ini kembali ke tempat yang sepatutnya,” katanya.
Sunderland, yang baru dinaikkan ke Premier League selepas menewaskan Sheffield United dalam perlawanan akhir play-off Kejuaraan, menjadikan Guiu sebagai pemain kesembilan yang ditandatangani musim panas ini.
Pengarah sukan Sunderland, Kristjaan Speakman, menganggap Guiu sebagai penyerang moden yang memiliki semua ciri yang diperlukan untuk menyerlah dalam sistem permainan pasukan.