Malayan Tigress B-20 belum putus asa, fokus perlawanan menentang Jepun
Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress B-20, Cameron Ng tetap memuji semangat juang anak buahnya meskipun tewas 0-3 kepada Iran dalam aksi pembukaan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.
Menurut Cameron, pemain-pemainnya telah memberikan komitmen sepenuhnya pada perlawanan tersebut namun beberapa kesilapan menyebabkan mereka sukar untuk bangkit.
“Pertama sekali saya perlu memuji para pemain saya. Mereka memberikan 100%, mereka mencuba, mereka berusaha keras, berlari, dan kekal dengan perancangan permainan. Namun, kami melakukan beberapa kesilapan individu yang membolehkan pihak lawan menjaringkan dua gol pertama.
Disebabkan kesilapan tersebut, kami berada dalam kedudukan sukar untuk bangkit di separuh masa kedua. Tapi dari segi usaha dan kesetiaan kepada pelan permainan, saya rasa ada masa-masanya kami dapat bermain dengan baik menentang Iran. Kami mempamerkan persembahan yang baik,”
katanya.
Cameron juga mengakui kekalahan itu menyakitkan, namun enggan menyalahkan sesiapa.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai peluang untuk layak sebagai antara tiga naib juara terbaik, Cameron mengakui laluan kini sangat sukar.
“Sudah tentu, sekarang ia menjadi sangat-sangat sukar. Seolah-olah satu pendakian yang curam. Tapi bola sepak itu penuh dengan perkara luar jangka – anda tak tahu apa yang boleh berlaku.
Sebab itulah kita semua cintakan bola sepak. Keajaiban boleh berlaku. Jadi saya akan terus berharap sehingga secara matematik kami benar-benar tiada peluang.”
Sementara itu, Cameron juga yakin pasukannya mampu mencipta kejutan pada aksi kedua menentang gergasi Jepun nanti.