Darwin Nunez sertai Al-Hilal, Liverpool terima €53 Juta
Penyerang Uruguay, Darwin Nunez, sah menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal, selepas mencapai persetujuan perpindahan bernilai €53 juta (£46.3 juta).
Dipetik dari BBC, pemain berusia 26 tahun itu kini dijangka menjalani pemeriksaan perubatan dalam masa terdekat sebelum menyertai skuad kendalian Simone Inzaghi secara rasmi.
Nunez menyertai Liverpool dari Benfica pada Jun 2022 dengan nilai awal £64 juta.
Sepanjang dua musim di Anfield, beliau menjaringkan 40 gol dalam 143 penampilan, namun hanya memulakan lapan perlawanan Liga Perdana musim lalu, ketika The Reds menjuarai liga.
Keputusan menjual Nunez dijangka memberi impak kewangan positif kepada Liverpool dalam usaha mereka mendapatkan penyerang Newcastle, Alexander Isak.
The Magpies sebelum ini menolak tawaran sebanyak £110 juta, dengan nilai sebenar pemain Sweden itu dianggarkan sekitar £150 juta.
Jendela perpindahan musim panas ini menyaksikan Liverpool berbelanja besar, termasuk membawa masuk Florian Wirtzdari Bayer Leverkusen dengan rekod kelab bernilai £116 juta dan Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt (£79 juta).
Mereka juga menjual Luis Diaz ke Bayern Munich (£65.5 juta) dan Tyler Morton ke Lyon (£15 juta), sementara Harvey Elliott dijangka turut meninggalkan kelab.
Al-Hilal kini membarisi ramai bintang seperti Ruben Neves, Joao Cancelo, Aleksandar Mitrovic, Kalidou Koulibalydan Yassine Bounou, menambahkan lagi kekuatan skuad mereka menjelang musim baharu Liga Pro Saudi.