Anwar mahu Malaysia bawa pulang 1 pingat emas di Olimpik
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan harapan besar agar kontinjen negara berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Olimpik akan datang.
Menurut Anwar, di bawah kepimpinan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, sasaran satu emas perlu direalisasikan demi maruah sukan negara.
“Kalau tidak dapat emas, mereka akan kena,”
katanya berseloroh.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pecah tanah pembinaan Rumah Olimpik – ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur Sports City.
Anwar turut menekankan kepentingan semangat kesukanan, bukan sekadar mengejar kemenangan.
Katanya, sukan perlu menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, dan bukan menjadi medan mencetuskan pergaduhan.
Anwar juga memberi jaminan sokongan kerajaan terhadap pembangunan sukan, selagi tadbir urus dijaga dan manfaat sampai kepada atlet, terutamanya golongan muda.
“Jangan bawa budaya hooliganisme dari luar ke dalam sukan kita.”