Akhyar puji keserasian pasukan walaupun majoritinya adalah pemain baharu
Pemain sensasi Terengganu FC, Akhyar Rashid, meluahkan rasa puas hati selepas pasukannya membuka kempen Liga Super musim 2025/26 dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya.
Menurut Akhyar, walaupun beliau dan rakan sepasukan hanya sempat berlatih dengan formasi baharu selama seminggu dengan majoritinya adalah muka baharu namun mereka berjaya membawa pulang tiga mata penuh.
“Hampir 85% adalah pemain baru. Keserasian itu datang bukan saja di dalam padang, tetapi juga dari aktiviti ‘team bonding’ di luar padang. Semua dapat adapt dengan taktikal yang jurulatih tetapkan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelas Akhyar lagi, aksi menentang Penang menjadi bukti bahawa pasukan mampu membentuk keserasian yang lebih baik pada masa akan datang.
Dalam pada itu, mengulas tentang prestasi peribadinya yang dipuji ramai, Akhyar tampil merendah diri dan menyatakan bahawa fokus utama beliau adalah untuk bantu pasukan memperoleh keputusan positif dalam setiap perlawanan.
“Alhamdulillah, walaupun jarang dapat bola, saya cuba beri yang terbaik. Harap momentum ini dapat kita kekalkan.”
Kemenangan ini menjadi permulaan positif buat Sang Penyu yang kini pastinya mahu memastikan mereka terus mengutip tiga mata penuh pada perlawanan kedua menentang PDRM FC esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).