Katsuhito Kinoshi mahu pemain Selangor FC lebih tajam depan gol
Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menegaskan bahawa beliau belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi skuadnya walaupun berjaya mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Brunei DPMM dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ semalam.
Menurut Kinoshi, keputusan tiga mata tidak boleh menutup kelemahan ketara yang dilihat sepanjang perlawanan, khususnya dari segi ketumpulan penyudah di hadapan gol.
“Kemenangan 3-0 adalah keputusan yang baik, tetapi seperti yang saya beritahu sebelum sidang media, saya agak kecewa kerana kami mempunyai terlalu banyak peluang terbuka yang tidak disempurnakan.
Dalam bola sepak, peluang kadang-kadang hanya datang sekali. Gol atau tidak gol boleh mengubah kehidupan kami, bukan sahaja pemain, tetapi juga penyokong yang sentiasa bersama kami,”
katanya.
Tambahnya lagi, setiap peluang yang terhidang perlu diterjemahkan kepada jaringan kerana ia mampu menentukan hala tuju sesebuah perlawanan, terutamanya ketika menentang pasukan besar.
Dalam pada itu, Kinoshi turut mengakui bahawa musim ini akan menjadi lebih mencabar berbanding tahun lalu.
“Bagi saya, sama ada menentang DPMM, pasukan universiti atau JDT, tahap fokus kami mesti sama. Kami perlu sentiasa bersedia untuk melakukan transisi dengan baik, sama ada selepas kekalahan atau kemenangan besar. Itu polisi kami di Selangor.”
Kinoshi pada masa sama turut memuji perkembangan positif pemain import baharu seperti Chigor Flores Moraes, Zach Paul John Clough dan Kevin Deeromram yang semakin serasi dengan bola sepak Malaysia.
“Saya tanya Kevin selepas perlawanan, berapa gol? Dia jawab dua. Berapa bantuan gol? Dia jawab tiada. Jadi saya kata, cuba tambah bantuan gol juga. Dua gol itu baik, tetapi kami perlukan lebih daripada itu.”
Beliau juga mahu pemain tempatan seperti terus mempertingkatkan prestasi mereka bagi membantu pasukan.
Sementara itu, Kinoshi berkata fokus utama beliau ketika ini adalah mahu memastikan Selangor menang dalam setiap perlawanan serta mahu memastikan peluang yang ada tidak disia-siakan.
“Kalau kami mahu kekalkan prestasi seperti musim lalu, kami mesti kuat, bersatu dan bertahan bersama. Itu tugas saya — menyatukan pasukan dan membentuk skuad yang mantap. Jika keputusan merosot, saya akan bertanggungjawab.”